Salam dan Salam 1Malaysia.. Panitia Pendidikan Islam mengucapkan selamat menduduki Peperiksaan Akhir Tahun 2011 dan Excel I untuk Tahun 5.. Semoga anak-anak didik berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang dihadapi dan mendapat keputusan yang terbaik untuk penentuan kelas tahun hadapan..
Islamic Widget
Isnin, 24 Oktober 2011
Isnin, 26 September 2011
Tahniah Penganugerah Ijazah Sarjana Muda
Panitia Pendidikan Islam SK St. Agnes Likas (M) mengucapkan syabas, tahniah dan sekalung penghargaan kepada Ust. Muhashibi Razali, Ust. Wan Othmiadi dan Cikgu Noriah Mohammad di atas penganugerahan Ijazah Sarjana Muda pada majlis Konvokesyen UKM kali ke 39 yang diterima. Segala penat lelah, pengorbanan yang dilakukan sebelum ini berbaloi dengan penganugerahan tersebut. Semoga anak-anak guru-guru ini dan anak didik akan mencontohi langkah guru melanjutkan pelajaran ke menara gading dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Amin.. Ya Rabbal Alamin..
Khamis, 22 September 2011
Tahniah di atas penganugerahan..
Panitia Pendidikan Islam STA mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah kepada Ust. Rusni, Cikgu Noriah, Cikgu Elizabeth, Cikgu Dg. Kamariah, Cikgu Juriah dan Pn. Suzana di atas APC 2010 yang diterima. Semoga penganugerahan ini akan menaikkan semangat profesionalisme keguruan untuk terus mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang berguna untuk masa hadapan.
Rabu, 14 September 2011
Selamat Menduduki UPSR
Kepada semua murid tahun 6, pihak Panitia Pendidikan Islam mengucapkan selamat menduduki peperiksaan UPSR yang bermula dari 13.09.2011 hingga 15.09.2011.. Semoga anak-anak murid akan berjaya dengan cemerlang dan mendapat keputusan yang baik.
Program Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah
Pada 10 September yang lalu, Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan program Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah. Program ini merupakan program penutup sempena program Ihya Ramadhan. Pihak Panitia berterima kasih atas kesudian Ust.Saimin Atip selaku Pegawai j-QAF PPDKK merasmikan program ini. Majlis Khatam ini diketuai oleh Ust. Hafiz dan disertai oleh 40 orang murid yang telah mengikuti program tadarus Al-Quran semasa bulan Ramadhan baru-baru ini. Antara acara yang diadakan seperti berikut :
1)Bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai yang diketuai oleh Ust. Hafiz
2)Persembahan Nasyid oleh murid tahun 4 Tekun
3)Penyampaian Hadiah kepada pemenang program Israk dan Mikraj
4)Penyampaian Hadiah Kepada murid Istiqamah
1)Bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai yang diketuai oleh Ust. Hafiz
2)Persembahan Nasyid oleh murid tahun 4 Tekun
3)Penyampaian Hadiah kepada pemenang program Israk dan Mikraj
4)Penyampaian Hadiah Kepada murid Istiqamah
Rabu, 24 Ogos 2011
Lailatul Qadar
Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3. Maksudnya: " Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "
Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:Maksudnya: " Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
dosa-dosa yang telah lalu "
Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan: Maksudnya: " Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "
Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:Maksudnya:" Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil. "
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah: Maksudnya: " Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke-27. "
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.
Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya: " Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "
Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:
Maksudnya:" Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku. "
Petikan dari :
FIQH & Perundangan Islam Jilid II
Wahbah al-Zuhaili
Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Isnin, 22 Ogos 2011
Kelebihan Malam Lailatul Qadar
SEPULUH malam terakhir Ramadan sudahpun bermula. Malam yang dilimpahi keberkatan dan keistimewaan harus direbut oleh umat Islam yang berpuasa.
Ini kerana salah satu malam itu akan dinamakan lailatulqadar yang disebut lebih baik daripada 1,000 bulan. Sepuluh malam terakhir Ramadan juga harus diisi dengan beriktikaf di masjid dan memperbanyakkan amalan termasuk membaca al-Quran dan menghidupkannya dengan berbuat ibadat.
Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan ibadah pada malam 10 yang terakhir melebihi daripada malam-malam sebelumnya. Aisyah ra berkata; “Rasulullah SAW apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, baginda menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (tidak mencampuri) isteri-isterinya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada malam 10 terakhir ada satu malam yang dinamakan lailatulqadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak). Pada malam ini diturunkan al- Quran sebagaimana firman Allah yang maksudnya, “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada lailatulqadar.” (al-Qadr, 1)
Ibn Abbas berkata, Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari al-Loh al-Mahfuz ke Bait al-E’zzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia turunkan secara berperingkat kepada Rasulullah SAW, selama 23 tahun.
Lailatulqadar disifatkan lebih baik berbanding 1,000 bulan. Firman Allah bermaksud, “lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan”. (al-Qadr, 3)
Pada malam ini juga disifatkan sebagai malam yang penuh berkat. Firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan, ayat 4 bermaksud, “Sesungguhnya Kami turunkannya (al- Quran) pada malam yang diberkati”.
Pada malam itu juga turunnya Malaikat memenuhi bumi ini. Dan Malaikat turun bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam itu. Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman Allah SWT yang maksudnya, “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”. (al-Dukhan, 4)
Apa yang dimaksudkan melalui tafsir ‘urusan yang penuh hikmah’ itu ialah pada malam berkenaan Allah menentukan umur, rezeki dan ajal manusia.
Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang juga mengampunkan hamba- Nya yang menghidupkan malam-malam berkenaan dengan ibadah dan zikrullah (penghayatan terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah) penuh rasa keimanan dan pengharapan.
Nabi SAW bersabda, bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam 10 terakhir Ramadan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW bersabda lagi bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir”. (Riwayat Bukhari)
Imam Nawawi berpendapat bahawa memandangkan hadis yang menceritakan mengenai lailatulqadar berselisih pada waktunya, ini menunjukkan bahawa malam berkenaan berpindah-pindah pada setiap tahun.
Oleh itu, setiap muslim tidak sepatutnya melepaskan peluang daripada memanfaatkan malam 10 terakhir Ramadan dan menghidupkannya dengan ibadah dan doa. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah ra bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada lailatulqadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab, katakanlah ‘Allahuma inni affu’un karim tuhibbul afuwa fa’fuanni’”
Satu lagi amalan yang sangat dituntut dilakukan oleh umat Islam pada 10 malam terakhir Ramadan ialah dengan iktikaf di masjid. Fadilat beriktikaf pada bulan Ramadan lebih banyak berbanding hari yang biasa. Maksud iktikaf di sini ialah mendampingi masjid untuk mentaati Allah SWT.
Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri baginda turut beriktikaf bersama- samanya ketika baginda hidup dan meneruskan selepas baginda wafat.
Syarat sah iktikaf ialah Islam, berakal, tidak berjunub dan bersih daripada haid dan nifas bagi perempuan. Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid
Waktu bermula iktikaf: Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjid sebelum terbenam matahari ke-20 Ramadan. Waktu berakhir iktikaf: Berakhirnya iktikaf ialah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan.
Perkara sunat yang dilakukan ketika beriktikaf ialah memperbanyakkan ibadat sunat seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, takbir, istighfar, salawat dan doa. Begitu juga menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji kitab hadis, tafsir, sirah nabi dan sebagainya.
Perkara yang harus dilakukan ialah keluar daripada masjid kerana sesuatu hajat dan darurat seperti untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saudara mara, menziarahi kematian atau orang sakit.
Begitu juga hukumnya harus dan digalakkan jika mandi, memotong rambut, kuku, memakai pakaian yang bersih dan wangi-wangian.
Mendirikan solat fardu secara berjemaah di masjid memang digalakkan. Seseorang yang bersolat jemaah di rumahnya tidak sama berbanding berjemaah di masjid.
Keutamaan jemaah di masjid ini sangat diberi perhatian oleh Rasulullah SAW. Pada zaman Rasulullah SAW, semua sahabat menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid.
Pernah juga suatu ketika Rasulullah SAW sangat marah kepada mereka yang tidak mahu datang solat berjemaah dan baginda bersabda, bermaksud: “Kalaulah boleh, aku akan menyuruh semua kanak-kanak mengumpulkan kayu api agar aku boleh keluar mencari dan membakar rumah-rumah yang penghuninya bersolat di rumah mereka tanpa sebab yang dibenarkan.”
Langgan:
Catatan (Atom)



